Archive for the ‘Uncategorized’ Category

Yang Penting Mutu, Bukan Kutu

Wednesday, March 10th, 2010

DALAM dua tahun ini kita bakal menghadapi cabaran yang genting dan getir. Apakah benar bahasa Melayu bakal sejujurnya dimartabatkan? Yang jelas, pada 1987, Akta Bahasa dimaruahi; pada 2003 Akta itu diludahi. Dan kini bahasa Melayu sedang gusar dalam buana mimpi.

Sebenarnya, sehingga kini kita masih hidup dalam dunia janji. PPSMI belum dimansuhkan. Ia ditangguhkan. Kita baru dijanjikan bahawa dasar itu akan hanya terhenti pada 2011 atau 2012. Maka itu, wajarlah kita hubaya terhadap peruncit kuasa yang segak berbusana saudagar bahasa.

Di sebalik latar inilah, saya harap perlawanan seni kita itu akan terus menyegar. Memang perlu sentiasa ada gerak daripada kita. Perlu terus dijeritkan lara bahasa di tengah malam. Dan jika merasa lelah, biarlah diam kita diam yang sufis.

Kita ada kelompok Budayawan Bertindak untuk menjayakan ini. Dengan tabah, tapi tekun, mereka bakal cekal bergerak. Biar setapak, tetap ke depan; biar setitik, tetap berkocak.

Sebagai badan seni kecil yang sasa, hendaknya Budayawan Bertindak janganlah cepat menelan sebarang slogana janji peruncit kuasa. Peruncit kuasa ini memang terbiasa dengan cara kerja “pantas pintas pentas”. Apalagi di sisinya sedia terhidang dana yang gergasi. Rahsia kejayaannya: Mereka memang jarang menggunakan tangga; mereka juga jarang menggunakan lif. Sebaliknya, mereka menggunakan helikopter dan turun enak dari atas.

Kelompok jenis ini memang sangat berkuasa. Dengan magis helikopternya, mereka mendadak menjadi hartawan. Kekayaannya bukan lagi hujan lebat; kekayaannya, banjir memampat. Makanya, mereka mempunyai dana mengejut yang boleh mengecutkan sesiapa saja, jika sesiapa itu masih manusia—maksudnya, bukan kelompok vampir.

Memang mereka inilah saingan kita—peruncit kuasa yang segak berbusana saudagar!

Contohnya, melalui kuasa dana terduduknya itu, mereka mampu menghadirkan yang ghaib; dan menghaibkan yang hadir.

Situasi siasah sedang bergolak gelisah. Mula ramai pejuang menjadi pejuWang. Terlaksanalah “seleksi alami”. Eloklah. Sebab, yang penting mutu, bukan kutu!

Jangan Ulangi Kerja Lanunan

Thursday, March 4th, 2010

PADA 7 Mac ini, saya akan mengenangi semula sesedarnya bagaimana di tengah arus 100,000 para demonstran, saya telah disambut dengan permaidani najis oleh pemerintah saya. Waktu itu saya hanya ingin menjunjung betapa murninya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Malang, saya dicemuhi. Jika diluhuri, mengapakah pendukung hajat murni itu mesti dihadiahkan air dan gas yang pedih dan pedas?

Pada 7 Mac ini genaplah setahun peristiwa PPSMI yang amat memalukan itu.
Dan, sayangnya, kita sebenarnya masih terus dimalukan—mungkin sehingga tahun 2011 atau 2012. Kalaulah janji menteri janji keramat.

Sebelum menyertai gerakan murni GMP itu, saya telah cuba menghadami semangat Perkara 152 itu. Saya pelajari bahawa Perlembagaan di bawah Perkara 159(5) itu jelas menyebut bahawa kata putusnya hanya terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Saya ulangi “kata putusnya hanya terletak di tangan Majlis Raja-Raja.”

Tapi, ternyata bukan begitu yang dilaksanakan.

Fahamilah bahawa segelintir pemimpin leluhur Kemerdekaan kita telah dengan penuh sedar dan bijaksana melandaskan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara demi perpaduan dan kesejahteraan bangsa. Malangnya, segelintir pemimpin masa kini kita sangat terpesona dengan “keistimewaan” masa kini, lalu terlupa atau sengaja melupakan keluhuran perjanjian masa lalu.

Kita telah—dan mungkin sedang—memulakan kecenderungan baru yang sangat menggerunkan. Kita merobah sesuatu tanpa merujuk dan menyetiai perlembagaan leluhur lalu. Jika semua kemurnian perlembagan masa lalu dicarik seenaknya oleh pemimpin masa kini—dan pemimpin masa depan—tanpa meluhuri perlembagaan masa lalu, apakah kita sengaja ingin mengajar cucu-cucu kita supaya jangan segan “kencing berlari”?

Itulah tampaknya budi bahasa yang sedang kita pupuk. Kita membiarkan seorang Perdana Menteri yang secara angkuh dan mendadak melanggar Akta Bahasa ketika sedang di ekor kuasanya pada 2003! Kita seperti terlupa bertanya mengapa visinya itu membernas terlalu lambat?

Jika sungguhpun kita yakin bahawa bahasa Melayu tidak mampu memberi rezeki global, lakukanlah semurni santun. Pindalah Akta itu dulu jika Akta tersebut sangat menghalang rezeki global bangsa. Janganlah mengulangi kerja lanunan itu.

Pada 7 Mac ini, itulah yang saya ingin kenangi. Sungguh pedih.

Terasa Sangat Suramnya Senja

Saturday, February 13th, 2010

Tidak selalu orang ghairah bercakap tentang dunia yang runcing. Dan saya pun, cuba menjauhi dunia sedemikian. Begitulah yang berlaku semalam—hari Jumaat—ketika saya sedang bersyahdu di masjid—datang seorang bertanya:

“Bapak memang kenalan baik Rosiah Chik?”

Saya tidak tersangkak mengakuinya sambil cepat mengenangi cebisan beberapa peristiwa bersama biduanita Ghazal itu.

Pada 2006, Rosiah Chik menjadi arwah.
“Itulah yang ingin saya tahu,” jelas sahabat tadi sambil bertanya di mana dapat dibacanya puisi tersebut.

Maka, saya siarkan di sini:

MALAM ROSIAH

Terasa sangat suramnya senja
damai yang hening malam Rosiah;
dalam sepi yang tidak dijangka
giliran damaimu ke pusara.
Suaramu yang payah disalin
kembali memercikkan kenangan
menghantar debar ke qalbu tulen,
mengindahkan malam yang kempunan.

Lagumu berakar batin purba
mengusik pantai membisik cinta,
nafasmu mesrai malam jejaka,
mengganggu senja si anak dara.
Kau disenandung dekad P. Ramlee,
dilembut biola Hamzah Dolmat;
nafas senimu santun serasi
getar budaya ke tahap nikmat.

Tahi lalatmu di sisi bibir
gincu menjerit sirih bergambir;
mata mengenyit, senyum memancing,
cara dekadmu menyembuh rungsing.
Kaudamaikan debaran di dada,
lestari lagu kenangan lama,
di pentas seni selama ini
lidahmu lemak santan bercili.

Terasa sangat suramnya senja,
tidurlah, damailah, Cik Rosiah.

25—27, Januari, 2006. A. SAMAD SAID.
Bangsar Utama, KL.

Cara Hafal Warga Tua

Monday, January 25th, 2010

Hari ini sudah melebihi tiga minggu saya cuba “menghafal” monolog Ka’ab bin Malik. Apabila ditatap teksnya memang terucap lancar monolog tersebut. Tapi, sebaik saja ditutup halaman teks tersebut, mulalah saya tersangkak-sangkak. Usia tua tampaknya memang lambat “menolong”.

Tapi, saya terus cekal. Teater “Menungu Kata Dari Tuhan” tetap akrab di hati. Dan saya cuba “menghafal”nya dengan pelbagai cara.

Pertama, saya susun adegan teater itu menurut hirarki kemunculannya. (Ada 12 adegan kesemuanya, tapi ada adegan pengenalan). Saya cuba mengingat isi adegannya secara kronologis—begini:

Dalam adegan pengenalan saya muncul sendiri sebagai “pencerita” yang mengumumkan wujudnya ada tiga buku yang dijadikan asas kepada teater ini. Buku-bukunya: 1. Terjemahan Hadis Soheh Muslim; 2. Riyadhus Solihin oleh Imam Nawawi; dan 3. Soheh Muslim.

(Saya berharap—malah menganjurkan—agar khalayak teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” membacanya dulu.)

Kemudian berurutanlah muncul 12 adegan lain yang diawali dengan seruan Rasulullah saw agar umat Islam menyertai perang di Tabuk membawalah kepada adegan kekesalan Ka’ab bin Malek kerana sengaja lalai daripada menyertai perjuangan itu. Dari situ berkembanglah terus kisah taubat Ka’ab (dan teman-temannya).

Allah Maha Pemurah, setelah menguji hamba-Nya, mengampunkan Ka’ab bin Malik berserta teman-temannya kerana bercakap benar!

Biarlah saya lanjut menghafal naskhah syahdu ini dulu sebelum saya bercerita lanjut tentang pengalaman lainnya.

DUA BUKU SATU TUJU?

Sunday, January 17th, 2010

Hampir sepanjang minggu ini saya seronok mengunyah serentak dua buah buku secara bergilir: sebuah fiksi (“The Last Station”) dan sebuah lagi non-fiksi (“Freefall”). Saya terpikat khusus tidak saja kerana tema buku-buku itu, malah kerana kemasyhuran penulisnya. “The Last Station” ditulis oleh Jay Parini yang sangat terkenal dengan biografi John Steinbeck dan Robert Frost, sementara siapa pula tidak mengenal Joseph E. Stiglitz? ( Ingat: “Globalization And Its Discontent”.)

Novel Jay Parini merakamkan kehidupan tahun terakhir Leo Tolstoy dari kaca mata isterinya, anaknya, doktornya dan pembantu peribadinya (dan ada lagi!). Beberapa cebisan kehidupan syahdu Tolstoy dirakamkan semengerti mungkin oleh Parini.

Contohnya, Sofya Andreyevna (isteri Tolstoy yang pencemburu itu) sempat merakamkan detik menggiurkan asmara mereka. Sasha, anak gadis Tolstoy yang terlalu mengasihi ayahnya itu, mengakui beruntung sebagai puteri pujangga Russia.

Makavitsky sebagai doktor peribadi dan Bulgakov sebagai setiausaha Tolstoy masing-masing mengagumi peribadi istimewa tuan mereka. Dengan watak-watak semanis dan secemburu itu apakah Tolstoy benar-benar sempat hidup bahagia? “The Last Station” merakamnya secara indah dan penuh mengerti.

Berbeda pula dengan “Freefall”—buku terbaru Joseph Stiglitz—kandungan atau “kisah”nya lebih murung, malah menjengkelkan. Pemenang Anugerah Nobel dalam bidang ekonomi ini menyusuri punca ketimpangan mendadak ekonomi Dunia (khususnya Amerika) pada 2008. Apakah yang wajar dipelajari daripadanya?

Keluar masuk koridor kuasa George Bush dan Barrack Obama, Stiglitz tanpa berselindung menyalahkan gologan pakar bidang ekonomi sendiri sebagai penyebab malapetaka. Menurut Stiglitz, kemacetan syarikat Lehman Brothers, upaya menasionalisasi Fannie Mae dan Freddie Mac dan penyelamatan syarikat gergasi AIG ternyata satu musibah besar negara. Sangat menarik (malah menghemah) apabila Joseph Stiglitz menyelar peranan Alan Greenspan dan Ben Bernanke (watak besar ekonomi Amerika) serta menyergah upaya menyelamatkan kelompok syarikat gergasi yang ternyata memakan marhaennya sendiri?

Menunggu Kata Dari Tuhan

Friday, January 8th, 2010

SEJAK November lalu, saya semakin menghadami teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” karya Dinsman. Dalam tenteram—dan syahdu—saya cuba mengunyah pesanan pentingnya—sesuatu yang saya kira wajar dan waras dihayati umum. Teater ini mengasuh kita “bercakap benar”.

Kini memang semakin ramai yang “bercakap TIDAK benar”.

Mungkin mulanya jenakaan, tapi kini sungguhan, saya sudahpun cuba “menghafaz” dialog drama tersebut. Payah bagi orang tua, tapi, seperti selalu, saya sedia dicabar.

Saya menyungguhinya kerana berazam untuk berlakon sebagai Kaab bin Malik. Satu peranan yang sangat mencabar, tapi menghampiri 9 April 2010—ya, hari saya berusia 75!—saya menggagahinya. Sejak 24 Disember, 2009, hampir setiap hari—hingga semalam—saya megulangi “Menunggu Kata Dari Tuhan” sekurang-kurangnya sekali sehari (tapi ada kalanya tiga kali sehari!)

Saya mempunyai pelakon contoh yang jempul—Sabri Yunus. Saya telah menyaksikannya berlakon sebagai Kaab bin Malik sebanyak empat kali di “panggung” dan negeri yang berbeza. Tiga kali di Selangor dan sekali di Melaka.
Saya tidak menjanjikan kejutan; saya cuma menjanjikan kesahajaan.

Dengarnya Dinsman sudahpun mula “mencari penaja”. Entah tersangkut atau tidak, tapi, yang pasti saya akan terus berlatih.

Sebelum ditanya “mengapa berlakon?” biarlah saya menjawabnya dulu. Saya bukan berlakon—saya berdakwah. Apakah yang sebaiknya dilakukan oleh seorang setua saya selain daripada berdakwah.

Saya akan tulis perkembangan selanjutnya.

Salam.

Anak-anak Palestina

Monday, January 4th, 2010

Anak-anak di Palestina
buminya rekah dan resah
dicekau senjata dan dengki;
batinnya terasak rosak
dicakar dendam yang ngeri.
Kini mentari tenat dan remuk,
cinta ditelan sekam malam.
Bumi Palestina cacat dan sakit,
sengat, racun menyentap nafasnya.
Antara duri dan kerikil mencengkam,
tempur dan cungap bersanggah,
mulut-mulut muda terus berdarah.

Anak-anak Palestina yang resah,
bara berang mengunyah alamnya
meretakkan watak dan wajah,
derita paling sengsara.
Bunga-bunga kering berapungan–
darah membuak berontak.
Kekacauan menggigit kalut jiwa–
cacar dan cemar; getir dan perit;
gigil dan hangus. Nisan yang nisan.
Api yang api. Api dan api.

Anak-anak Palestina bentengnya cekal.
Bapa-bapa nazak di sisi pusara;
ibu-ibu asuhi warisan yang garang–
mereka tenaga gempa
yang panjang menggugat
tank, kopter dan peluru, menggelorakan
wira yang syahdu.

Musafir Palestina yang termangsa
mendobrak peragut akar watan.
Mereka – pewaris sabar dan waja
mengasihi setiap pasir buminya
–melawan taufan syaitan
yang merasuk pelosok buananya–
penuh gamam, penuh dendam.
Mereka retak yang tajam. Denyut menyala.
Mereka kawah marak paling merah.
Dan sengat zaman.

Anak-anak Palestina yang tergugah,
unta-unta tersisih yang luka–
dalam kedurjanaan liar kasar,
dalam kemusnahan golak gelegak–
belajar hidup utuh dan indah
mengutip sisa dan nadi maruah
daripada sejarah yang kusut.
Mereka rahsia telaga mesra,
pohon-pohon kurma remaja,
diranumi nurani
amarah dan sumpah bangsa
yang pantang menyerah.

Dan di sini–
angin Ranau, nafas Semantan, degup Melaka,
mengucupi jantungmu yang terkelar.
Anak-anak Palestina yang tabah,
unta-unta tersingkir yang cedera,
sengat racun menyentap nafasnya.
Angin Ranau, nafas Semantan, degup Melaka,
suara saka, sakti dan sasa
menggemakan jerit dan raungmu. Dan kau,
dalam debu dan udara yang bisa,
kawah ledak saling gelegak,
enggan hangus atau pupus; dan enggan kalah.

Kudat/Beaufort/Keningau/KL
15-27 Mac 1989.

Lidah Tsunami

Thursday, December 24th, 2009

Ia datang dengan lidah yang sangat liar,
gelembung diri dalam gelombang yang besar;
air yang lembut kini cemeti yang keras,
berbisik tentang fananya alam yang waras.

Ia mula kebisuan luar biasa,
walaupun ufuk ternyata damai awalnya.
Tapi, lantai bumi retak cemas di laut,
pesan yang hanya difaham ikan yang takut.
Ruang terkejut kosong, laut nafas murka,
sebelum mimpi tak terimbas pun bahaya.
Ombak menari dalam busana biasa,
meluncur dan serentak merentap segala,
darah dan lumpur mula akrab bersaudara.

Dan selepas lidah air kuat berpulas
di sisi jerit dengung yang terlalu buas,
insan menjadi bauran renda yang satu,
terkapar kalah oleh gelombang seteru,
warna lumpur menjadi selimut sebati
dalam bingung yang terlalu berteka-teki.

Tsunami menggertak ketabahan negara -
merobah batas diri, merangsang bersatu,
melebarkan jalur luka, menggugah qalbu.
Ia mencairkan warna kulit, mensyahdu
ketar batin dan menenung mata yang gamam
serta mulut yang ternyata terkejut bungkam,
dan serentak juga merangsang manusia -
bangsa yang berbeza dari mana pun juga
menjadi warga tanah terdera yang sama.

Air telah pun berkuak menjadi ombak;
ombak tergesa lari dikejar gelora,
dan gelora cepat sebati dengan angin
yang amat galak menjerit semurka mungkin.
Tsunami, lidah ombak memang tak terduga,
sayang dan marah memang rahsia jantungnya,
mengerlipkan iktibar yang wajar dibaca,
pesan berhikmah di sebalik serangannya.

Dan kita insan yang sedang dalam pusaran -
rumah dan kapal, pepohon, titi dan pagar -
serentak saja menjadi rakan terdera,
takjub, nahas yang sempat mengakrabkan kita!
Pada senja yang malam, dan dini yang subuh,
pagi yang siang, kini tangis seluruh,
dan semua qalbu berdoa dalam syahdu,
memohon tabah dan keberkatan baru.

Hari ini duka yang hebat,
tangan musim yang menggeletar,
jantung bumi yang terluka -
nafas lara kita bersama.

Tragedi ini ucapan tamsil di abad mula,
Ya Allah, lindungilah kami dari malapetaka.

30-31 Disember 2004

Anak Beradab

Friday, December 18th, 2009

Anak
beradab
bercakap
cermat.
Tiap
katanya
tersisip
rahmat.

2004

Rindu Ibu

Menambat Rakit

Thursday, December 17th, 2009

Sesudah demikian lama dicintai,
sukarlah dilupakan.
Inti pengalaman, kepedihan;
akar kerinduan, keresahan.

Memang begitu banyak
diperlukan kekuatan. Ke pengkalan
batin rakit ditambatkan,
bara kenangan dikuakkan.

Akhirnya, tak terduga, kekuatan
membuak sendiri. Dan disedari
semua tak kan sampai ke dasar inti.

Tiada lagilah bezanya
sama ada hilangnya kemudian
atau tenggelamnya sekarang.

Tiada juga bezanya jika
langsung ia tak datang
atau tiba-tiba terkorban.

Kepilauan yang berlanjut
akhirnya ditenterami
keyakinan betapa dielak pun
takdir, tetap terbuka pintunya,
bertanya: Manusia, engkau
ini sebenar-benarnya siapa?

1985

*Simbolis – kehidupan satu pelayaran susah dan senang – zahir dan batin.