Archive for the ‘Buku’ Category

Mendengar Ombak Di Pantai Qalbu

Thursday, February 18th, 2010

SAYA memanglah seorang pembaca buku yang lambat. Kurang tepat—saya adalah pengunyah buku yang lumat—atau mungkin, lebih tepat: saya adalah peleka buku sepenuh nikmat.

Benar, saya bukanlah pembaca yang pelari. Bukan kerana saya tidak ingin cepat tiba ke akhir buku, tapi lebih kerana saya ingin lama bersapa—dan mendakap—setiap kata yang berlinang nikmat.

Kata-kata adalah kerdip fikir dan bisik tafsir; kata-kata juga adalah titian seni ke ilmu murni. Makanya, mengapa harus gopoh berlari, meninggal atau tertinggal pesan yang sakti? Mengapa tidak cuba sabar dan tekun berhenti, khusyuk meneliti, daripada hanya melihat (atau terlihat) imbas pepohon, kabus jendela atau kelibat insan!

Ketika membaca, saya ingin benar menikmati permata ilmu, dan lebih bermakna, jika saya dapat juga mendengar debur ombak di pantai qalbu. Juga, mendengar senandung alam semesta.

Selalunya, serentak saya mengunyah tiga empat buku (ia boleh suara Tariq Ramadan atau telahan J. Esposito; ia juga boleh bentak Ravi Batra atau deklamasi Rendra). Saya menikmati setiap yang dilihat, mendengar getar irama kekata, menekuni degup qalbu syahdu berseru, juga belajar menggali falsafi baru.

Buku yang baik—tua dipandang, muda disayang. Setiap halamannya adalah pepintu baru, penyegar bijak, pendidik luhur, pendekat matlamat. Buku itu pengalaman. Jika berduka isi, ia sepantun lelaki sedu atau wanita pilu. Jika bergelora isi, ia adalah pelaut di gelombang atau pendaki di puncak suram.

Begitulah sesedikitnya—kalau benarlah sedikit—jasa buku terpilih. Ia lambat dibaca, tapi amat bergema gaungnya. Dan dalam khusyuk tertentu buku menyemai mimpi yang dahsyat, menuai celek yang nikmat.

Cuma, elakkanlah musim jemu—seperti dijauhkan saya dari pengkhianat, buku tebal yang tipis. Sebaiknya, curahilah saya halaman nan wangi—seperti dekatkan saya kepada adegan terindah, buku yang tipis tapi yang sasa.

Makanya, temukan saya khazanah Usman; pimpin saya ke rubaiyat Khayam; dekatkan saya ke api Rumi; syahdui saya ke ayat suci. Dan jangan lupa, jauhkan saya dari kuasawan licik, niagawan berpeta dan bangsawan pelupa!

Begitulah ragam saya membaca. Berbisik yang lambat, mengunyah yang lumat.

Bisik Warna

Monday, July 6th, 2009

Lukisan-lukisan dalam buku terbaru ini akan dijual keseluruhannya. Siapa yang berminat sila hubungi helmysamad@gmail.com

bisik warna 2009

Dari Salina ke Langit Petang

Wednesday, April 18th, 2007

Alhamdullillah, “Dari Salina ke Langit Petang” selamat diterbitkan. Inilah proses penerbitan dsklp1yang paling mencabar buat Wirabukit setakat ini. Bermula dengan pemilihan judul-judul, input bahan-bahan ke dalam komputer, rekabentuk grafik, urusan ISBN dan data pengkatalogan, pemilihan kertas dan pemasaran, kami benar tidak sedar kita kini di awal Februari 2007!

Rancangan menerbitkan 8 judul untuk tahun 2007 adalah satu usaha mengukuhkan kedudukan Wirabukit. 8 Judul Yang Bakal Diterbitkan WBSB Pada 2007:

Edisi Seni Warisan Melaka:
1. Dari Salina Ke Langit Petang – Sudah terbit!
2. Cinta Fansuri – Sudah terbit!
3. Keledang – Sudah terbit!

Novel Kanak-kanak:
1. Rumah Rahsia – (awal 2008)
2. Bendera Di Atas Bukit – (awal 2008)
3. Yang Berat Sama Dipikul – (awal 2008)