|
Blog
Dari Salina ke Langit Petang
18 April 2004
Alhamdullillah,
"Dari Salina ke Langit Petang" selamat
diterbitkan. Inilah proses penerbitan yang paling mencabar buat Wirabukit
setakat ini. Bermula dengan pemilihan judul-judul, input bahan-bahan ke dalam
komputer, rekabentuk grafik, urusan ISBN dan data pengkatalogan, pemilihan
kertas dan pemasaran, kami benar tidak sedar kita kini di awal Februari 2007!
Rancangan menerbitkan 8 judul untuk tahun 2007 adalah satu usaha mengukuhkan
kedudukan Wirabukit. 8 Judul Yang Bakal Diterbitkan WBSB Pada 2007:
Edisi Seni Warisan Melaka:
1. Dari Salina Ke Langit Petang - Sudah terbit!
2. Cinta Fansuri - Sudah terbit!
3. Keledang - Sudah terbit!
Novel Kanak-kanak:
1. Rumah Rahsia - (awal 2008)
2. Bendera Di Atas Bukit - (awal 2008)
3. Yang Berat Sama Dipikul - (awal 2008)
|
RINDU IBU
31 Ogos 2006
Hampir di mana-mana sekolah yang saya lawati bagi mengisi acara Komsas, saya
jarang lupa membacakan beberapa buah puisi daripada antologi terkini saya,
“Rindu Ibu”. Walaupun kata saya ia sebuah antologi terkini, tapi sebenarnya ia
telahpun terbit seawal tahun 2004.
Saya merasa terhibur kerana sambutan terhadapnya tidak tersangkakan. Bermula
dengan versi kulit lembut, kini “Rindu Ibu” diterbitkan dalam kulit keras, dan,
percaya atau tidak, dalam bentuk kulit keras ia,anehnya, lebih laris. Masih ada
baki yang sedikit, dan Wira Bukit Sdn. Bhd. kini sudahpun bersedia untuk
mencetaknya lagi.
Mengapa agaknya sambutan atau keghairahan begini berlaku?
Saya cuba menilainya sendiri. Barangkali—setakat ini—kerana ia kumpulan
“pertama” puisi “kanak-kanak menjelang remaja” yang dalam sejarah sastera
Inggeris dimulakan oleh Robert Louis Stevenson. Kedua, barangkali, kerana subjek
kebanyakan puisi ini “Mesra Ibu”. Ada puisi tentang durian,bagitu juga ada puisi
tentang elarti, malah ada puisi mengenai “Hemah” dan “Jujur Kata”.
Memang di mana pun saya bercakap mengenai “Rindu Ibu”, saya akan menghalakannya
lebih kepada ibu-ibu yang, saya percaya, sangat merindui anak mereka.
Pada satu pertemuan, saya berseloroh kepada seorang ibu muda: “Mengapa tidak
dibacakan “Rindu Ibu” sebelum menidurkan anak?”
Dia datang semula ketika acara selesai, dan dengan yakin membacakan:
“Barisan/alif-ba-ta/landasan/untuk baca;/terkesan/jagat raya/dan akhirat/bahagia.”
Saya ingin menangis kerana memang yang dibacanya itu puisi pertama dalam
antologi “Rindu Ibu”—puisi berjudul “Huruf.”
Saya harap akan hadir ramai ibu yang begitu! Generasi muda akan beruntung
memperoleh ibu sedemikian!
|
|
|
KEMBARA SENI
02 Ogos 2006
Mulai 23 hingga ke 28 Julai 2006 ini saya akan ke Pantai Timur untuk mengisi
rancangan Komsas secara bergilir di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Khabarnya—seperti
biasa—saya akan bercakap tentang sastera, sementara Dr. Awang Sariyan akan
bercakap tentang bahasa.
Selama seminggu saya akan mengisi tanggungjawab seni itu, berjumpa dengan para
pelajar dan guru untuk bantu menghairahkan dunia sastera.
Seperti lazimnya, sebagai seorang penulis dan "penjaja" buku, saya akan membawa
hanya sejumlah kecil buku-buku saya, khusus bagi mereka yang benar-benar ingin
memilikinya sebagai bahan kenangan—'collectors' items'.
Di setiap negeri nanti, saya hanya akan menjual sebanyak l5 buah buku, bererti
45 buah buku saja bagi ketiga buah negeri itu. Saya percaya yang benar-benar
menyayangi buku di sesebuah sekolah hanyalah l5 orang. Saya percaya merekalah
nanti yang akan membelinya.
Kali ini yang sempat saya bawa hanyalah:
1. ILHAM DI-TEPI TASIK
2. RINDU IBU
3. BULAN TAK BERMADU DI FATEHFUR SIKRI
Salam.
|
|