WIRA BUKIT BELUM GUNUNG!
PADA April 9 ini genaplah saya 75 tahun. Akan ada sedikit perayaan kecil dalam keluarga, dan mungkin ada pula perayaan “sederhana” oleh pihak terpilih. Tapi, yang penting bukanlah perayaan itu; yang penting isi kehidupan saya selama 75 tahun.
Saya sedang merenunginya secara peribadi. Dan yang lebih ingin saya lakukan ialah menilai semula sumbangan seni saya. Khususnya, meneliti geraf kemajuan Wira Bukit, sebuah syarikat penerbitan yang sangat sederhana.
Sejak 2003, Wira Bukit lahir secara rasmi, berkat jerit-perih anak saya—Helmy Samad. Dia yang bersungguh-sungguh; saya bersandar santai di belakang. Helmy sedar bahawa saya mulai risau dengan nasib dan kedudukan buku-buku saya.
Maka itu, dengan dokongan beberapa pihak yang mengerti dan bersimpati, Wira Bukit lahir dengan novel ulang cetak pertamanya, “Adik Datang”. Memang tidak begitu sempurna, tapi tidak pula mengecewakan. Bagi saya, “Adik Datang” adalah kelahiran bermakna setelah demikian lama sunyi.
Tapi, kerenah dan perjalanan dunia buku tidak membayangkan bahawa Wira Bukit sebenar-benarnya “berjaya”. Terbitannya sangatlah kecil, dan hasil penjualannya kurang garang. Inilah yang saya “renungi” menjelang usia 75 tahun.
Tahun ini kami memang sudah membayangkan peta rancangan dan perkembangan Wira Bukit. Pertama kami bakal menjimat. Sebenarnya kami sudah pun berpindah pejabat untuk “waras berbelanja”. Wira Bukit akan lebih bertimbang lagi. Kami bercadang menerbitkan semula sejumlah kecil buku menurut kepentingan dan permintaannya. Saya ada 65 judul, dan yang diterbitkan baru hanya 12. (Malah ada empat naskhah baru saya yang belum terusik).
Saya berharap khalayak buku akan terus menyokong kami. Wira Bukit bukanlah gunung—Wira Bukit masih bukit! Kami belum punyai kepintaran investasi seperti Warren Buffet atau Steve Job. Kami masih hanya Helmy dan Samad!
Tapi, kami tetap mewah dengan cita-cita dan kukuh dengan tindakan. Kami sedang merancang untuk menerbitkan semula “Salina” yang sudah tiada dalam pasaran demikian lama. Kami ingin menerbitkannya semula sebagai menyambut usia 50 novel itu sendiri!
Dan kali ini, kami akan cuba lebih “berjimat” agar kedudukan kewangan Wira Bukit beransur damai. Dengannya Wira Bukit akan lebih “bernyawa”. Tapi, untuk ke matlamat murni itu tentu sajalah kami mengharapkan pembeli yang membaca atau pembaca yang membeli.


Menarik idea bapak. Penerbitan semula Salina elok rasanya dibuat sekarang. Saya sokong.
[Reply]
salam pak samad.
saya sedang menunggu yang terbaru, setelah menjumpai salina, sungai mengalir lesu, langit petang ,daerah zeni dan wira bukit. teruskan pak..
[Reply]
Salam Pak Samad. Saya kira Salina dan Langit Petang adalah antara karya bapak yang terunggul. Saya tidak akan pernah lelah membacanya walaupun untuk ke sekian kalinya. Saya juga sangat ingin memiliki koleksi syair dan sajak bapak.
[Reply]
Assalamualaikum Pak Samad,
Saya mengenali Salina seawal usia 13, dan jatuh cinta pandang pertama. Sejak dari itu saya terus mencari novel-novel A Samad Said, dan saya temui Daerah Zeni. kini saya sedang menghabiskan bacaan Hujan Pagi. Saya ingin sekali memiliki karya-karya A Samad Said, bukan sekadar meminjam dari library. Saya harap dapat diterbitkan kembali karya-karya tersebut terutamanya Salina.
[Reply]
hai.. saya nadia. saya diberi tugasan untuk menyiapkan task yang bertajuk rumusan wira bukit. jadi saya ingin tahu wira bukit ini apa sebenarnya? adakah wira bukit juga sebuah novel? saya search kat internet juga tiada mengenai novel wira bukit.. macam mana pula dengan novel adik datang? tolong hantar ke email saya. terima kasih. kalau perlu ini nombor telefon saya. apa-apa kamu boleh tinggalkan pesanan kepada saya.
[Reply]