Archive for November, 2009

Kita Ini Tetamu Senja

Tuesday, November 24th, 2009

Kita datang ini sebagai tetamu senja
bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya.
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada insan.
Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
usahlah durhaka pula kepada Tuhan kepada insan.

Bila kita lihat manusia lupa tempat
atau segera sesat puja darjat puja pangkat
segera kita insaf – kita ini punya kiblat,
segera kita ingat – kita ini punya tekad.

Bila kita lihat manusia terbiar larat
hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat
harus kita lekas sedar penuh pada tugas
harus kita tegas sembah seluruh rasa belas.

Kita datang ini satu roh satu jasad
bila pulang sekali bawalah bakti padat berkat!

Utusan Zaman
13 November 1955

Waris Bertuah

Tuesday, November 17th, 2009

Lihatlah, nikmatilah jernihnya air;
dengarlah, hayatlah angin berdesir.
Inilah dendang bumi yang kaya
kita warisnya sungguh bertuah.

Di kocak sungai ikan segar menari,
di atas dahan unggas cergas menyanyi.
Seisi alam ini satu anugerah
syukur yang tulus kita kepada Allah.

Bumi yang yakin, langit yang tulen
berdakap damai seakrab mungkin.

22 Januari 2002
(Suara Dari Dinding Dewan)

Bumi Sendiri

Tuesday, November 10th, 2009

Kita perlu turun
dari menara
melepaskan capal
berjalan kaki
merasakan keresahan
nafas bumi.

Kita sekarang sedang
didesak di tengah
dendam gelegak,
sedang disiku
dari seluruh penjuru,
sedang dihina
kerana terlalu lama
sengaja mengalah.
Kita sedang genting
dan sedang gering,
kita perlu marah
sejujur hati
untuk bermaruah
di bumi sendiri.

Kali ini jika kita
menyanyi biarlah lagu
yang paling hakiki.
Jika kita bersuara
biarlah jujur rasa.

Biarlah ketika
didengar anak cucu
mereka akan bangga
datuk neneknya
lelaki yang berani;
mereka akan merasa
bermaruah di tengah
buminya sendiri.

Kita perlu bangun
sekali ini,
bangun pertahan
hak yang hakiki.

Kuantan – 1987.
Balada Hilang Peta – 1990.

Penyair

Thursday, November 5th, 2009

Kepada setiap
penyair gundah
daun gugur pun
sentiasa indah.

Benih Harapan

1973

Ombak

Monday, November 2nd, 2009

Ombak yang menjamah
kakiku sekali
tak kan dapat
kukenali lagi.

Benih Harapan
1973