Archive for August, 2009

Hidup Bersama

Monday, August 31st, 2009

Hidup Bersama

Suara dari Dinding Dewan

2003

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah

pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;

dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,

tenang dalam segala uji cabar dan debar.

Kita mencari hanya yang tulen dan jati,

sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak

yang jauh. Dalam gelora dan tofan

tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan

mengasuh kita bersuara dalam sopan,

yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,

inti tonggak dan menara kebahagiaan.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia

menyanyi—sihat, teguh, bertekad dan berani.

Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita

mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.

Tanah air akan indah, megah dan bermaruah

jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;

dan bumi akan subur, makmur dan mewah

jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;

kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.

Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti

tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah

kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.

Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,

berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa—

bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;

dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,

kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,

wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi

kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa

sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

September 2001

Ramadhan yang Manis

Friday, August 21st, 2009

Alam itu cantik—gunung dan tasik;
maya terlalu indah—laut dan mega.
Lapar dan dahaga yang mengiktibar
cekal dan bersih suara mengajar:
Lapar kita dahaga yang menguji,
dahaga kita lapar yang mengerti—
ketakwaan penuh terhadap Ilahi.
Puasa—musim manis, bahang menguji,
angin yang santun ke pohon dakwah
bergugus dan sihat buah ibadahnya.
Bulan menyimpan kebijaksanaan,
musim indah di taman Ramadhan,
menyerlahkan kemanusiaan luar biasa,
menginsafi keagungan Maha Kuasa.
Daun yang gugur, tanah yang rekah,
di atas sejadah harum iklimnya;
surah yang jernih dan suara syahdu
terhantar ke lidah dari damai qalbu,
merubah derita ke bahagia diri,
membimbing hidup yang diredai.
Solat malam, zikir doa, tulus sedekah
ibadah ummah, tangkai yang ketiga,
mengagumi Allah Subhanahu Wa Taala.
Langit beradab, kelam dan cerah
datang dan pulangnya iktibar berhemah.
Badik ketika murka, senyum sewaktu mesra,
alam, insan khusyuk menyujud Ilahi
sekiblat dalam tautan kasih yang hakiki.
Lailatul qadar ia pada detik terpilih
malam yang manis, indah dan jernih.
Pada malam sabar dan siang yang cekal
ranum pohon hikmah sebagai bekal;
gugus permata, kerlipnya paling mesra,
merimbun bugar, daunnya meneduhi ummah.

Bangsar Utama
9-13 September 2001

Bangsar Utama
9-13 September 2001

Menjelang 75 Tahun A. Samad Said

Saturday, August 8th, 2009

menjelang00

Kredit: Buku Cenderamata oleh ITNM

Majlis Penghargaan “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” dan Pelancaran Buku Fansuri’s Love dan Ballad of The Lost Map oleh ITNM berjalan dengan lancar jam 8.30 hingga 11.00 malam tadi bertempat di Auditorium DBP, Bangunan Lama DBP, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

menjelang01

Ketua Pengarah DBP, Dato’ Termuzi Abdul Aziz

menjelang02

Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd. Khair Ngadiron

menjelang03

Pelancaran disempurnakan bersama oleh Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd. Khair Ngadiron dan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Termuzi Abdul Aziz. Turut kelihatan ialah
Encik Razin Abd. Rahman, Pengurus Kanan Jabatan Korporat ITNM.

menjelang04

menjelang05

Fansuri’s Love dan Ballad of The Lost Map

Acara dimeriahkan lagi dengan acara-acara yang diatur seperti berikut:

  • “A. Samad Said yang Saya Kenali” – Pengenalan oleh Nisah Haron
  • Bacaan puisi I: Prof. Rahman Shaari
  • Bacaan puisi II: Shukri Abdullah
  • Nyanyian lagu puisi I: Taheerah Rosheena Mohamed
  • Bacaan puisi III: Zurinah Hassan
  • Bacaan puisi IV: Raja Rajeswari Seetha Raman
  • Bacaan puisi V: Dr. Chew Fong Pang
  • Pementasan hasil “Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said”
  • Bacaan puisi VI: Dr. Ahmad Razali
  • Bacaan puisi VII: Dr. Victor Pogadev
  • Bacaan puisi VIII: Seri Amalina Mohd Khair
  • Bacaan puisi IX: Saifullizan Yahya
  • Bacaan puisi X: Malim Ghozali PK
  • Bacaan puisi oleh Bapak.

Majlis diakhiri dengan jamuan ringan dan sessi autograf bersama Bapak.

Hari ini: Acara Menjelang 75 Tahun A. Samad Said

Saturday, August 8th, 2009

bapakprofileInstitut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan Majlis Penghargaan “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” pada 8 Ogos 2009 bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis ini dianjurkan bagi mengenang dan menghargai karya serta sumbangan Sasterawan Negara Datuk (Dr.) A. Samad Said membangunkan bidang sastera kebangsaan, selain bertujuan meraikan menjelangnya 75 tahun usia beliau pada 9 April 2010.
Majlis penghargaan ini akan diadakan dalam dua acara, iaitu “Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said” pada 8 Ogos 2009 bermula jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang, sebelum kemuncak acara “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” bermula jam 8.00 malam sekali gus melancarkan buku Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map (terjemahan Cinta Fansuri dan Balada Hilang Peta) di Auditorium DBP, Kuala Lumpur.

“Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said” akan disertai oleh mahasiswa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Setiap peserta dibahagikan kepada tiga bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman, iaitu terdiri daripada Nam Ron (bengkel seni teater), Sharifah Maswari Syed Bakar & Drew Harris (bengkel seni tampak), dan Taja Meet Uncle Hussain (bengkel seni muzik). Bengkel ini merupakan usaha untuk merangsang minda generasi muda selain memberikan lebih pendedahan untuk mengadaptasikan beberapa karya Sasterawan Negara keempat (1986) ini. Cara ini juga berfungsi sebagai simbolik ekspresi generasi muda menghargai nilai hasil karya Datuk (Dr.) A. Samad Said. Hasil bengkel ini akan dapat dipersembahkan di kemuncak acara “Menjelang 75 Tahun Sasterawan Negara Dato’ (Dr.) A. Samad Said” bermula jam 8.00 malam di Auditorium DBP.

Majlis ini menjadi lebih bermakna kerana buku Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map (terjemahan Cinta Fansuri dan Balada Hilang Peta) turut dilancarkan. Acara pelancaran buku terjemahan terkini terbitan ITNM hasil karya Datuk (Dr.) A. Samad Said ini akan disempurnakan bersama oleh Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd. Khair Ngadiron dan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Termuzi Abdul Aziz di hadapan beberapa Sasterawan Negara, Pemenang Anugerah S.E.A. Write, dan penggiat sastera tanah air.

Selain persembahan hasil daripada “Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said”, pelbagai persembahan kebudayaan turut diadakan. Nisah Haron memulakan acara dengan menceritakan “A. Samad Said yang Saya Kenali”. Beberapa penggiat sastera turut tampil membacakan dan menyanyikan lagu puisi, antaranya Profesor Rahman Shaari, Dr. Chew Fong Pang, Raja Rajeswari Seetha Raman, Dr. Victor Pogadev, Malim Ghozali PK, dan Datuk (Dr.) A. Samad Said sendiri.

Sumber: ITNM