Archive for August, 2006

Rindu Ibu

Thursday, August 31st, 2006

Hampir di mana-mana sekolah yang saya lawati bagi mengisi acara Komsas, saya jarang lupa membacakan beberapa buah puisi daripada antologi terkini saya, “Rindu Ibu”. Walaupun kata saya ia sebuah antologi terkini, tapi sebenarnya ia telahpun terbit seawal tahun 2004.

Saya merasa terhibur kerana sambutan terhadapnya tidak tersangkakan. Bermula dengan versi kulit lembut, kini “Rindu Ibu” diterbitkan dalam kulit keras, dan, percaya atau tidak, dalam bentuk kulit keras ia,anehnya, lebih laris. Masih ada baki yang sedikit, dan Wira Bukit Sdn. Bhd. kini sudahpun bersedia untuk mencetaknya lagi.

Mengapa agaknya sambutan atau keghairahan begini berlaku?
Saya cuba menilainya sendiri. Barangkali—setakat ini—kerana ia kumpulan “pertama” puisi “kanak-kanak menjelang remaja” yang dalam sejarah sastera Inggeris dimulakan oleh Robert Louis Stevenson. Kedua, barangkali, kerana subjek kebanyakan puisi ini “Mesra Ibu”. Ada puisi tentang durian,bagitu juga ada puisi tentang elarti, malah ada puisi mengenai “Hemah” dan “Jujur Kata”.

Memang di mana pun saya bercakap mengenai “Rindu Ibu”, saya akan menghalakannya lebih kepada ibu-ibu yang, saya percaya, sangat merindui anak mereka.

Pada satu pertemuan, saya berseloroh kepada seorang ibu muda: “Mengapa tidak dibacakan “Rindu Ibu” sebelum menidurkan anak?”
Dia datang semula ketika acara selesai, dan dengan yakin membacakan:
“Barisan/alif-ba-ta/landasan/untuk baca;/terkesan/jagat raya/dan akhirat/bahagia.”

Saya ingin menangis kerana memang yang dibacanya itu puisi pertama dalam antologi “Rindu Ibu”—puisi berjudul “Huruf.”

Saya harap akan hadir ramai ibu yang begitu! Generasi muda akan beruntung memperoleh ibu sedemikian!

Kembara Seni

Wednesday, August 2nd, 2006

Mulai 23 hingga ke 28 Julai 2006 ini saya akan ke Pantai Timur untuk mengisi rancangan Komsas secara bergilir di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Khabarnya—seperti biasa—saya akan bercakap tentang sastera, sementara Dr. Awang Sariyan akan bercakap tentang bahasa.

Selama seminggu saya akan mengisi tanggungjawab seni itu, berjumpa dengan para pelajar dan guru untuk bantu menghairahkan dunia sastera.

Seperti lazimnya, sebagai seorang penulis dan “penjaja” buku, saya akan membawa hanya sejumlah kecil buku-buku saya, khusus bagi mereka yang benar-benar ingin memilikinya sebagai bahan kenangan—’collectors’ items’.

Di setiap negeri nanti, saya hanya akan menjual sebanyak l5 buah buku, bererti 45 buah buku saja bagi ketiga buah negeri itu. Saya percaya yang benar-benar menyayangi buku di sesebuah sekolah hanyalah l5 orang. Saya percaya merekalah nanti yang akan membelinya.

Kali ini yang sempat saya bawa hanyalah:
1. ILHAM DI-TEPI TASIK
2. RINDU IBU
3. BULAN TAK BERMADU DI FATEHFUR SIKRI

Salam.